Met kemas kini amaran, KTMB batal laluan ke PT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan luruan monsun kuat akan berlanjutan sehingga hujung November 2024 berdasarkan analisis model cuaca yang terkini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan dalam tempoh berkenaan.

“Sehubungan itu, METMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan (bahaya, buruk dan waspada) melibatkan Semenanjung yang berkuat kuasa sehingga 30 November 2024. 

- Advertisement -

“Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan masih berkuat kuasa sehingga 30 November 2024. Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web https://www.met.gov.my.

“Juga media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Sementara itu, menerusi hantaran berbeza, amaran hujan lebat berterusan (bahaya) dijangka berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai); dan Terengganu sehingga esok.

“Seterusnya, amaran hujan lebat berterusan (buruk) dijangka berlaku di Perak (Hulu Perak); Kelantan (Gua Musang); dan Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin).

“Selain itu, amaran hujan lebat berterusan (waspada) di Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi),” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membatalkan 12 laluan perkhidmatan tren Pantai Timur (PT) susulan banjir yang melanda ketika ini.

Menurut kenyataan KTMB, antara laluan terbabit ialah JB Sentral-Tumpat, Tumpat-JB Sentral, Gemas-K. Lipis, K. Lipis-Gemas, Tumpat-K. Lipis dan Kuala Lipis-Tumpat (bermula di Gua Musang).

Selain itu, Gua Musang-Tumpat (tamat di Dabong), Tumpat-Gua Musang, Tumpat-Dabong, Tumpat-Gua Musang dan K. Lipis-Tumpat (ditamatkan di Gua Musang), katanya menurut kenyataan di media sosial.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 22,156 orang di 53 PPS, diikuti Tumpat (8,434 mangsa, 17 PPS).

Juga Kota Bharu (5,944 mangsa, 31 PPS); Kuala Krai (5,253 mangsa, 39 PPS); Tanah Merah (4,366 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (2,844 mangsa, lapan PPS). – HARAKAHDAILY 29/11/2024

- Advertisement -