KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, turun padang membantu memotong daging di Bilik Operasi Khidmat Malaysia di Markas PAS Kampung Guar Syed Alwi, pagi tadi. (Foto atas)
Inisiatif itu bertujuan menyediakan masakan dan edaran makanan kepada mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Terima kasih kepada semua pihak yang terus komited memastikan kebajikan rakyat Perlis terjaga. Tahniah kepada petugas yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir,” katanya.
Edaran makanan dijadualkan bermula sekitar jam 3 hingga 4 petang, melibatkan lokasi-lokasi sekitar Kangar yang terjejas banjir.
Semalam, pasukan bantuan telah bergerak ke kawasan Titi Tinggi, termasuk Kampung Guar Tinggi, serta kawasan Arau seperti Titi Besi, Kubang Gajah, Batas Liku dan Bumbung Lima.
Operasi ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak, termasuk muslimat, pemuda, Alternative Riding Club (ARC), Yayasan Amal, Jabatan Amal, serta penduduk Kampung Guar Syed Alwi dan Taman Jali.
Terdahulu, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan untuk menampung 252 mangsa daripada 70 keluarga yang terkesan akibat hujan lebat berterusan sejak awal minggu ini.
PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, SK Titi Tinggi, dan SK Arau.
Langkah segera itu diambil untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan dalam kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 29/11/2024