KOTA BHARU: Dua sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat di negeri ini.
Maahad Syamsul Maarif Lelaki Labok, Macang yang baru dibuka hari ini, manakala Maahad Amir Indera Putera Beris Kubur Besar dibuka semalam dan telah menempatkan 67 mangsa.
Timbalan Pengarah YIK, Che Kamaruddin Kami Che Muhamad berkata, pada masa yang sama sehingga hari ini sebanyak 12 lagi sekolah YIK diberi kelepasan cuti berikutan banjir yang melanda negeri ini.
Menurutnya, dengan pertambahan itu menjadikan sebanyak 29 sekolah YIK keseluruhannya diberi cuti kerana masaalah berkenaan.
“Pada kesempatan ini saya menyeru semua pelajar menjaga keselamatan diri masing-masing agar tidak terdedah dengan bahaya banjir.
“Dengan kelepasan cuti yang diberikan jadikan waktu yang ada untuk terus belajar dan mengulangkaji pelajaran terutama bagi anak-anak pelajar yang akan menghadapi peperiksaan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Kelantan kini mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi negara apabila 67,058 orang mangsa dari 20,958 keluarga ditempatkan di 249 PPS di 10 jajahan di negeri ini setakat pukul 5:03 petang ini.
Jajahan paling tinggi dilanda banjir, Pasir Mas dengan jumlah mangsa banjir 22,761 orang yang ditempatkan di 56 PPS, Tumpat (11,301) di 24 PPS, Kota Bharu (8,538) di 42 PPS, Pasir Putih (6,346) di 26 PPS.
Macang pula mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 4,561 yang ditempatkan di 20 PPS, Bachok (3,040) di 10 PPS, Jeli (535) di 4 PPS dan Gua Musang 38 orang mangsa di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 29/11/2024