Mangsa banjir di Kelantan sudah lebihi 56,000 orang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja berada ditahap bahaya dengan trend menaik iaitu 5.68 meter (m), setakat pukul 10:16 malam tadi.

- Advertisement -

Bagaimanapun bermula malam semalam, air sungai berkenaan telah mula melimpah hingga ke Padang Beng, pada masa yang sama hujan masih turun dengan lebat.

Sementara itu tambatan berkenaan menjadi kunjungan orang ramai terutama waktu malam sebagaimana rutin biasa setiap kali tiba musim tengkujuh.

Kehadiran mereka sama ada untuk memantau perkembangan banjir di Bandar Kota Bharu  atau bermain air.

Sejak kelmarin hingga semalam orang ramai tdak melepaskan peluang untuk melihat keadaan air sungat tersebut di sekitar Tambatan D’Raja.

Ketika ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan telah melebihi 56,000 orang dan kesemua mangsa ditempatkan di 220 PPS dari 10 daerah setakat pukul 10:32 malam tadi.

Bekas Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub hari ini mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan perkembangan banjir yang berlaku kini.

“Jagalah sebaik mungkin anak-anak dan awasilah mereka agar tidak bermain air,” katanya ketika ditemui hari ini sewaktu meninjau Sungai Kelantan di Laman Warisan Kampung Laut.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan dalam kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 29/11/2024