KUALA LUMPUR: Pelbagai isu kontroversi yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Tiong King Sing menyebabkan Sekretariat Gabungan Nasionalis mencadangkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya digantikan dengan tokoh profesional yang berwibawa.
Ketuanya, Rashidi Haris, berkata King Sing berulang kali mencetuskan isu kontroversi sedangkan beliau sebagai menteri perlu membawa imej Malaysia ke persada dunia dan bukan membawa masuk budaya luar ke dalam negara.
Menurutnya, kebanyakan kontroversi yang ditimbulkan membabitkan negara China sehingga timbul tanda tanya dan berlegar di minda rakyat, terutama orang Melayu, iaitu sama ada King Sing mahu mempromosi Malaysia atau China.
“Tanggungjawab besar seorang ahli parlimen, terutama apabila dilantik sebagai menteri iaitu wajib berkhidmat dan memberi taat setia sepenuhnya Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berpegang kepada prinsip Rukun Negara.
“Ikrar sumpah jawatan menteri ialah memberi taat setia kepada Malaysia dan akan memelihara, menjaga serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Antara kontroversi King Sing, Rashidi berkata ialah apabila Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dari DAP pada 22 November lalu membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan notis 14 hari kepada lima pemilik premis supaya menurunkan papan iklan tulisan Cina.
Katanya, ini berikutan papan iklan itu melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan Bahasa Kebangsaan.
Namun, katanya Kui Lun mendakwa tindakan DBKL tergesa-gesa dan mengganggu perniagaan sedang DBKL menjalankan tugas mengikut undang-undang.
“Bertambah rumit apabila King Sing pada 24 November 2024 membuat kenyataan seolah-olah isu itu bersifat rasis apabila dilaporkan berkata, “Beberapa pelawat antarabangsa bertanya secara langsung kepada saya, adakah Malaysia sebuah negara yang rasis atau ekstrem agama?”
Beliau berkata, kontroversi lain yang King Sing timbulkan termasuk melepaskan dua pelancong China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perletakan jawatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dengan alasan prestasi tidak memuaskan.
Katanya, isu lain ialah pengiktirafan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan negara, mabuk di satu majlis dan memberi alasan di parlimen bahawa beliau bukan beragama Islam dan terbaru, menerima pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah oleh China bersempena acara sambutan Tahun Baru Cina.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan King Sing digantikan dengan tokoh profesional yang lebih berwibawa seperti Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan, mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka atau PMX berisiko rakyat, terutama orang Melayu menolak Kerajaan Madani. – HARAKAHDAILY 29/11/2024