KOTA BHARU: Walaupun semua 10 jajahan di negeri ini termasuk Gua Musang yang terbaru telah dilanda banjir melibatkan jumlah mangsa ramai, namun situasi itu belum mencukupi daripada keadaan yang memerlukan untuk pengisytiharan darurat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Ab Pattah Hasbullah berkata, sehingga kini keadaan masih terkawal walaupun kesemua 10 jajahan di negeri ini telah dilanda banjir.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman terutama pada tahun 2014, pihak kerajaan hanya mengisytiharkan darurat apabila paras air di Tangga Krai mencecah ketinggian 35.1 meter.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi (Khamis) paras air di sini (Tangga Krai) baru mencapai 25.13 meter, iaitu kurang 10 meter daripada paras dicapai pada kejadian bah kuning 2014,” katanya semasa sidang akhbar di Bilik Gerakan Bencana Kota Darulnaim di sini semalam.
Menurut beliau, untuk mengisytiharkan darurat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan perlu bermesyuarat di peringkat negeri.
Jelasnya, pada masa yang sama ia perlu di pengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.
Ujarnya, selepas itu Menteri Besar, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim akan dimaklumkan.
Seterusnya keputusan mesyuarat diangkat ke peringkat Persekutuan, iaitu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ab Pattah memberitahu, NADMA pula akan memaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang akan memutuskan perlu diisytiharkan darurat atau sebaliknya.
“Ini kerana setelah darurat diisytiharkan, semua aset serta peruntukan akan diuruskan oleh Persekutuan,” katanya.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan dalam kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 29/11/2024