ARAU: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan di Perlis bagi menampung mangsa banjir yang terkesan akibat hujan lebat berterusan sejak awal minggu ini.
Langkah segera itu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang terjejas.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, sebanyak 252 mangsa daripada 70 keluarga telah dipindahkan ke PPS yang beroperasi semalam, 27 November.
Antara lokasi PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, SK Titi Tinggi dan SK Arau.
Kawasan-kawasan seperti Kampung Rambai, Kampung Titi Tinggi Hilir dan Kampung Padang Telela adalah antara yang paling terjejas dengan limpahan air sungai.
Situasi ini memaksa penduduk untuk dipindahkan bagi mengelakkan risiko yang lebih buruk.
Dalam pada itu lima sekolah mengambil tindakan membenarkan pelajar pulang awal hari ini sebagai langkah memastikan keselamatan pelajar berikutan keadaan banjir semakin buruk.
Sekolah-sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sheikh Ahmad, SMK Syed Hussein, Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, SK Tengku Budriah, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Aik.
Semua pelajar dari sekolah-sekolah tersebut akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian (PdPR) pada eesok, 29 November sehingga keadaan kembali pulih.
Selain itu, tiga lagi sekolah iaitu Al Maad, SK Titi Tinggi, dan SK Guar Nangka dilaporkan turut terkesan akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini.
Dalam masa yang sama, paras air di beberapa jalan utama di Perlis terus dipantau.
Setakat 11.30 pagi tadi paras air di Jalan R4 Tambun Tulang adalah 0.16 meter, Jalan R6 Pekan Pauh 0.17 meter dan Jalan R137 Simpang Tiga Batas Liku 0.20 meter.
Jalan-jalan ini masih boleh dilalui semua jenis kenderaan, namun penutupan akan dilakukan jika paras air melebihi 0.35 meter. – HARAKAHDAILY 28/11/2024