Tentera sanggup berkorban, kelengkapan tidak boleh ‘cap ayam’

Dato' Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru untuk memberikan keutamaan tinggi kepada keselamatan dan pertahanan negara bagi menghadapi cabaran geopolitik semasa.

- Advertisement -

Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengingatkan bahawa kelengkapan anggota tentera harus berkualiti tinggi dan memenuhi spesifikasi operasi untuk memastikan kecekapan mereka.

“Kita tak boleh ambil mudah hal-hal keselamatan. Anggota tentera kita telah terbukti sanggup berkorban jiwa dan raga. Oleh itu, kelengkapan mereka tak boleh ‘cap ayam’.

“Mestilah berkualiti, ikut spesifikasi, dan disesuaikan dengan keperluan perkhidmatan darat, laut, dan udara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan pendekatan kerajaan yang memilih model pajakan aset berbanding perolehan biasa.

Menurutnya, keperluan agensi keselamatan dan pengguna utama perlu diambil kira sepenuhnya sebelum keputusan dibuat.

“Adakah keperluan pengguna telah dipertimbangkan dalam pajakan aset ini?

“Helikopter tentera mesti mematuhi spesifikasi ketenteraan, termasuk kemampuan multitask seperti membawa pasukan, menjalankan operasi penyelamat, dan beroperasi di kawasan berbukit seperti di Sabah.

“Ujian menyeluruh perlu dijalankan untuk memastikan aset memenuhi keperluan sebenar,” tegasnya.

Ikmal turut membangkitkan isu kos pajakan aset yang dikatakan paling mahal dalam sejarah negara, iaitu RM16.546 bilion.

Beliau membandingkan perolehan helikopter Filipina yang membeli 32 pesawat Black Hawk pada harga jauh lebih rendah, iaitu RM2.7 bilion.

“Bolehkah cadangan penyewaan ini terlebih dahulu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terdiri dari pihak kerajaan dan pihak pembangkang bagi pelaksanaan yang lebih telus.

“Dan jawatankuasa ini boleh mengesahkan sama ada sewaan helikopter ini benar-benar jenis aset diperlukan dan penuhi spec pihak end user. Selepas itu sewa bolehlah diteruskan,” katanya.

Beliau yakin langkah itu bukan sahaja akan memuaskan semua pihak tetapi juga akan menambah baik reputasi kerajaan sebagai pengurus aset pertahanan yang telus dan cekap.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya memberitahu, isu itu membincangkan keputusan memilih syarikat dan spesifikasi kelengkapan tentera yang ditentukan oleh agensi berkaitan seperti TLDM dan TUDM, berdasarkan keperluan operasi masing-masing.

Ikmal dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan mengapakah kontrak sewaan pesawat helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia yang dilaksanakan secara pajakan tidak ditawarkan secara tender terbuka antarabangsa atau dilaksanakan secara ‘G to G’ (Government to Government). – HARAKAHDAILY 28/11/2024