PASIR MAS: Banjir yang melanda di jajahan ini dianggap lebih besar berbanding tahun 2014 berdasar paras air bah sehingga petang ini.
Bekas Pengetua Maahad Muhamadi Lelaki Mohd Mansor Daud berkata, berdasar pemerhatiannya paras banjir sehingga sekarang didapati lebih tinggi berbanding banjir 2014.
Katanya, Kampung Meranti sudah menjadi seumpama pulau kerana dipenuhi air bah di segenap penjuru.
“Rumah Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di Kampung Meranti juga ditenggelami banjir.
“Kenderaan pacuan empat roda tidak lagi boleh sampai ke Kampung Meranti kecuali lori yang tinggi,” katanya pada hantaran video di media sosial hari ini.
Pada video tersebut dua kenderaan milik Menteri Besar terpaksa diletak di tempat tinggi, namun paras banjir semakin meningkat.
Banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 antara dianggap terbesar setakat ini sehingga menyebabkan ribuan rumah penduduk di Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli rosak teruk.
Antara kampung yang terjejas teruk akibat banjir besar yang disebut sebagai bah kuning ketika itu termasuk Kampung Manek Urai Lama, di mana lebih 100 rumah penduduk rosak teruk dan hanyut.
Banjir besar 2014 menyebabkan jambatan kereta api di Kampung Kemubu Kuala Krai runtuh. Begitu juga jambatan di Kampung Setelu, Gua Musang runtuh.
Hulu Kelantan merupakan kawasan yang paling terjejas berikutan banjir 2014.
Lokasi tersebut mengambil masa sehingga tiga tahun untuk pulih sepenuhnya, di mana penduduk terpaksa membina rumah baru hasil bantuan kerajaan, syarikat swasta, NGO dan orang ramai. – HARAKAHDAILY 28/11/2024