KUALA LUMPUR: Jumlah orang kurang upaya (OKU) berdaftar di Malaysia dianggarkan sekitar 2.2 peratus hingga 2.5 peratus daripada jumlah penduduk iaitu antara 700,000 hingga 800,000 orang.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) telah membangkitkan beberapa isu penting berkaitan dengan keberkesanan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dalam memperkasa OKU melalui kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
“Berapa banyak daripada dana ini akan digunakan untuk program keusahawanan OKU dan berapa ramai OKU dijangka dapat manfaat langsung daripada peruntukan ini?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan, Wanita dan Masyarakat di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Salamiah yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, berkata terdapat tiga PDK utama di Temerloh iaitu Mentakab, Felda Bukit Damar, Taman Bahagia telah lama beroperasi dan memerlukan dana untuk aktiviti harian.
Beliau berkata, ia termasuk penyediaan makanan harian kepada para pelatih, pengurusan fasiliti dan pelaksanaan program mingguan yang dirancang untuk meningkatkan keupayaan serta kesejahteraan para pelatih.
“Selain itu, adakah kementerian boleh memberi geran untuk gaji guru yang mengajar di PDK walaupun dia merupakan badan bukan kerajaan (NGO).
“Oleh kerana gaji yang diterima hanyalah sekitar RM1,200 sebelum ditolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tambahan pula, gaji minimum tahun hadapan adalah RM1,700,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2024