PASIR MAS: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menghantar bungkusan makanan dan keperluan harian kepada penduduk yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Beliau memandu bot menjejaki mangsa banjir yang tidak berpindah di DUN Meranti.
Menurutnya, menggunakan bot lebih mudah serta berkesan berbanding kenderaan darat yang mempunyai risiko lain.
“Misi bantuan banjir 2024 di Meranti, laluan darat sudah tidak dapat dilalui kenderaan, trend air menaik dan arus yang kuat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook petang ini.
Mohd Nassuruddin yang juga ADUN Meranti turut memindahkan seorang pesakit terlantar ke lokasi yang lebih selamat.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024