Mangsa banjir diharap tidak tercicir dapat bantuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Wakil-wakil rakyat terpaksa bekerja keras bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir.

- Advertisement -

Ada dalam kalangan mereka yang turun rumah awal pagi dan balik lewat malam melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Adun Kadok Dato’ Sr Azami Mohd Noor berkata, bantuan yang diberi diharap sedikit sebanyak dapat meringkan beban yang ditanggung penduduk yang terpaksa berpindah akibat bencana tersebut.

“Keprihatinan dan sokongan yang diberi diharap dapat meringan beban penduduk yang terkesan, terima kasih juga kepada semua pihak turut terlibat membantu penduduk,” katanya di sini.

Di DUN Kadok empat sekolah termasuk tiga sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan satu Yayasan Islam Kelantan YIK dijadikan PPS.

Seramai 179 mangsa banjir ditempatkan di SK Kampung Chengal, 178 ditempatkan di SK Buloh Poh dan Sekolah Menengah Hamidian (68), manakala SK Perol yang dibuka hari ini (217).

ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud pula memastikan mangsa banjir di DUN berkenaan menerima bantuan daripada agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau turut melawat PPS yang menempatkan mangsa banjir iaitu SK Melor (238 mangsa) dan SMK Melor (544).

“Sebagai langkah segera saya melawat PPS untuk bertemu dengan mangsa banjir dan memastikan mereka tidak tercicir menerima bantuan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu ADUN Kok Lanas, Dato’ Mohamed Farid Zawawi menzahirkan penghargaan kepada agensi berkaitan yang bekerja keras membantu mangsa banjir.

Menurutnya petugas Pusat Khidmat DUN Kok Lanas menjaga kebajikan mangsa banjir termasuk yang ditempatkan di Islamic Outreach Abim seramai 165, SK Sri Ketereh (556), SK Pangkal Kalong (439) dan SK Kok Lanas (69). – HARAKAHDAILY 28/11/2024