KUALA LUMPUR: Kehadiran gelandangan bukan sahaja memberi kesan kepada pemandangan bandar tetapi juga menimbulkan cabaran sosial dan ekonomi yang perlu ditangani segera.
Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berkata, isu gelandangan terus membelenggu bandar utama terutamanya di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
“Adakah peruntukan yang disediakan untuk RM4.5 juta ini mencukupi untuk membiayai semua kemudahan Anjung Singgah di seluruh negara?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan, Wanita dan Masyarakat di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Pakar Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad melaporkan bahawa segelintir gelandangan ini sulit untuk keluar daripada kitaran hidup yang sama berulang kerana didorong oleh faktor gangguan kesihatan mental dan kurang sokongan sosial.
“Apakah strategi pihak kementerian dalam mendepani isu gelandangan berulang? Adakah terdapat mekanisme dalam menangani isu ini.
“Selain itu, berapakah jumlah gelandangan yang berulang telah direkodkan melibatkan wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan berkeluarga oleh Anjung Singgah serta jabatan masyarakat. Mohon perincian mengikut bandar dan juga negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2024