‘Lebih baik terlibat e-sukan daripada aktiviti tidak berfaedah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru menambah peruntukan bagi sektor industri digital kreatif dalam Belanjawan 2025 untuk menyokong perkembangan e-sukan dan pemain permainan video (gamers) di Malaysia.

- Advertisement -

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mendedahkan bahawa daripada 34 juta penduduk Malaysia, seramai 22 juta adalah pemain permainan video aktif, dengan 9.7 juta daripadanya merupakan pengguna berbayar.

Itu menurutnya, menunjukkan potensi besar sektor tersebut.

“Tahun ini, peruntukan untuk industri digital kreatif hanya RM88 juta berbanding RM110 juta pada tahun lalu.

“Dalam keadaan industri ini semakin berkembang, peruntukan ini wajar ditambah untuk membimbing dan mendorong golongan muda ke arah yang lebih positif.

“Lebih baik mereka terlibat dalam e-sukan daripada aktiviti tidak berfaedah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar Menteri Komunikasi dan Digital turut serta dalam aktiviti permainan video untuk lebih memahami sektor itu.

“Jadi saya rasa menteri pun boleh join, main game. Kalau ada, ajak saya sekali,” tambahnya secara berseloroh. – HARAKAHDAILY 28/11/2024