KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) bertujuan untuk menyediakan ruang bagi warga emas yang menghampiri usia senja agar dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta kerajaan menyatakan jumlah Pawe yang telah ditubuhkan mengikut negeri dan bergerak secara aktif.
“Bagaimanakah kementerian menentukan kewujudan di kawasan luar bandar dan kawasan populasi warga emas yang tinggi? Selain itu, Pawe juga turut melibatkan lima aktiviti utama iaitu kerohanian, kesihatan, ekonomi, sosial dan persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan, Wanita dan Masyarakat di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, Pawe juga boleh memfokuskan kepada kesejahteraan mental kerana isu itu kurang diberi penekanan.
“Ramai warga emas yang menghadapi masalah kesunyian ataupun kemurungan. Tambahan pula, program yang memfokuskan kepada kesejahteraan mental seperti kaunseling, terapi seni dan juga aktiviti sosial.
“Kualiti dan keberkesanan program Pawe ini mungkin berbeza bergantung kepada pengurusan setempat kerana ada Pawe yang sangat aktif dan juga bertenaga.
“Maka, ia memerlukan standard modul dan pemantauan secara berkala oleh pihak berwajib untuk memastikan konsultasi perkhidmatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2024