Kedah mula dilanda banjir, dua daerah terjejas

- Advertisement -

ALOR SETAR: Seramai 596 mangsa banjir melibatkan 197 keluarga di tempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah terjejas iaitu Sik dan Kubang Pasu.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, sehingga jam 8 pagi hari ini, seramai 535 mangsa di Kubang Pasu dipindahkan ke tujuh PPS.

Ia melibatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, SMK Binjai, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, SK Sultan Ahmad Tajuddin, SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu.

“Manakala di Sik seramai 34 mangsa yang ditempatkan di SK Kota Aur. Mangsa-mangsa ini mula dipindahkan ke PPS malam tadi,” jelas beliau.

Katanya, hujan tanpa henti selama tiga hari di dua daerah itu telah menyebabkan beberapa kampung dilanda banjir.

Sementara itu pada kejadian malam tadi, 16 anggota penyelamat dikejarkan ke Kota Aur, selepas paras Sungai Kota Aur telah melimpah.

Kata beliau, ketika anggota penyelamat tiba, kawasan kampung berhampiran sungai itu sudah dinaiki air setinggi satu meter.

“Operasi pemindahan tujuh keluarga berjaya dan mangsa kini ditempatkan di SK Kota Aur,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 28/11/2024