Kebiadaban Ahli Parlimen Bukit Bintang dikecam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Bukit Bintang mengecam Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkenaan tindakan diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap premis tidak mematuhi undang-undang dalam mempamerkan Bahasa Kebangsaan.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Bukit Bintang, Mohd Azemi Azman Johari berkata, kenyataan tidak patriotik dan menghayati semangat kebangsaan serta kenegaraan itu tidak wajar keluar dari mulut seorang Ahli Parlimen yang telah melafaz sumpah taat setia kepada Malaysia.

“Kenyataan biadab dengan menyifatkan tindakan DBKL yang bertindak mengikut laras undang-undang itu sebagai keterlaluan merupakan satu penghinaan dan merendah-rendahkan Bahasa Kebangsaan dan bukan mewakili suara rakyat di Bukit Bintang yang merupakan rakyat di negara Malaysia.

“Jika YB Fong mahu menjadi suara kepada pelancong-pelancong asing seperti China, sila letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan pergi menjadi suara ahli negara pelancong yang beliau mahukan dengan aspirasi pelancong-pelancong tersebut.

“Bukan dengan menggunakan tiket di atas kerusi rakyat dan pengundi warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dan menganggap kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen itu sebagai biadab dan rasis.

PAS Bukit Bintang gesanya, akan terus menyokong supaya pihak DBKL tegas berprinsip dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di negara ini.

Beliau juga berharap agar DBKL tidak tunduk dengan mana-mana tekanan yang cuba melacurkan bahasa jiwa bangsa penduduk dan rakyat negara. – HARAKAHDAILY 28/11/2024