‘Kami tidak mahu ada lagi kehilangan nyawa’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menegaskan komitmen untuk membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu, dengan seramai 9,322 mangsa daripada 2,862 keluarga telah dipindahkan ke 132 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat semalam.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya proaktif memastikan bantuan segera disalurkan melalui pemantauan rapi oleh Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB).

Beliau berkata, Ketua BGIB, Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil telah mengarahkan Bilik Gerakan Khidmat Malaysia di Kelantan dan Terengganu untuk terus memantau situasi, termasuk memastikan mangsa masih berada di rumah mendapat perhatian sewajarnya.

“Khidmat Malaysia telah bersiap untuk menggerakkan pasukan Rescue daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan banjir menjadi lebih parah di negeri Kelantan dan dua buah negeri lain termasuk negeri Terengganu dan Pahang.

“Pasukan penyelamat JAM yang terdiri daripada anggota terlatih dalam pelbagai cabang kemahiran menyelamat seperti penyelam scuba, menyelamat di air (open surface), pengendalian bot dan pertolongan cemas telah diminta membuat persiapan lebih awal sebelum daripada ini.

“Dan kini bersedia untuk digerakkan melalui arahan Markas Operasi Khidmat Malaysia Pusat di bawah pengarahan Pengarah Bahagian Operasi Khidmat Malaysia, Mohammad Nazree Mohammad Aris,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu menurutnya, Khidmat Malaysia turut menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) rakan strategik seperti Yayasan Amal Malaysia, yang menyediakan Dapur Rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif itu bagi membekalkan makanan kepada mangsa yang terperangkap dan petugas Khidmat Malaysia di lapangan.

Khairul Faizi turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada demi keselamatan diri bagi mengelakkan insiden seperti lemas atau renjatan elektrik.

“Kita tidak mahu ada lagi kedengaran mangsa-mangsa yang menemui ajal disebabkan bencana banjir yang berlaku pada ketika ini,” kata beliau.

Menurutnya, untuk memastikan kelancaran bantuan, Khidmat Malaysia merayu sokongan orang ramai melalui sumbangan wang tunai ke *abung Musa’adah Khidmat Malaysia (Maybank: 562384542866 atau Bank Islam: 12225010037517) serta penglibatan sebagai sukarelawan.

Orang ramai boleh menghubungi talian hotline di 011-56553427 untuk maklumat lanjut.

Khairul Faizi berkata, sebagai organisasi yang telah aktif selama 10 tahun sejak tragedi ‘Bah Kuning’, Khidmat Malaysia terus komited membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran bencana alam. – HARAKAHDAILY 28/11/2024

- Advertisement -
- Advertisement -