KOTA BHARU: Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri (PKOB) secara rasminya diaktifkan bermula jam 8 pagi semalam beroperasi 24 jam berikutan jumlah mangsa banjir di Kelantan semakin meningkat.
Orang ramai yang mahu mendapat sebarang maklumat lanjut boleh berhubung terus ditalian 09-748 1180.
Manakala jumlah mangsa banjir di seluruh negara tengah hari ini meningkat kepada 40,456 daripada 12,354 keluarga membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 33,316 orang daripada 10,054 keluarga, diikuti Terengganu 6,445 mangsa (2,031 keluarga), Kedah 452 mangsa (200 keluarga), Perlis 195 mangsa (54 keluarga), Johor 28 mangsa (8 keluarga) dan Perak 20 mangsa (7 keluarga).
Menurut Infobencanajkm pada jam 12.03 petang hari ini paling ramai mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Raja Pasir Mas (1,063 mangsa), SMK Tanah Merah 1 (857 mangsa).
Selain itu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 (1,101 orang), SK Bedal Kuala Krai (780 mangsa), SK Sri Tumpat 1 (558 mangsa), SK Kubang Batang (532 mangsa).
Sementara itu penduduk di Pulau Suri Tumpat bergotong royong menggali pasir bagi membolehkan air sungai mengalir terus ke laut.
Beberapa bandar dan pekan di Kelantan dilaporkan tenggelam hari ini termasuk Rantau Panjang dan Ketereh ekoran paras banjir makin meningkat. – HARAKAHDAILY 28/11/2024