Harap RTB siap segera, bantu kurang risiko banjir

- Advertisement -

ALOR SETAR: Penduduk yang tinggal di kawasan sering kali dinaiki air, diminta berwaspada, menjaga keselamatan diri, ahli keluarga masing-masing dan patuhi arahan sekiranya diarahkan berpindah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hujan yang turun tanpa henti sejak dua hari lalu telah menyebabkan berlaku limpahan air di empangan dan sungai-sungai.

“Beberapa Pusat Pemindahan Banjir (PPS) telah dibuka menempatkan mangsa banjir. Hari ini banjir melanda di Sik dan Padang Terap, sebelah hulu kena dulu. Selepas ini limpahan air akan mengalir ke hilir.

“Dan kawasan seperti Alor Setar, Kuala Kedah dan Pendang akan berlaku banjir. Diramalkan hujan ini akan turun hingga hujung bulan ini. Hari ini sudah 28 November, maknanya esok akan ada dua lagi gelombang.

“Tapi kita harap hujan kesianlah kat kita. Cukuplah yang kelmarin. Minta air tak melimpah dah,” ujar beliau ketika ditemui media selepas Sidang DUN Kedah tamat, hari ini.

Dalam pada itu, jelasnya lagi, semua pegawai daerah telah bersedia untuk menghadapi kejadian banjir ini dengan terdapat daerah-daerah telahpun membuka PPS dan sebahagiannya bersedia membuka PPS sekiranya perlu.

“Mereka dah ‘ready’ sepertimana yang sudah dilalui pada bulan September lalu,” tegasnya, namun berdasarkan kedudukan air di empangan, beliau turut menzahirkan kerisauan.

Tetapi memandangkan hujan sudahpun berhenti, beliau amat berharap, paras air yang mula menurun akan mengalir ke sungai bukan ke kawasan kediaman.

Dalam masa yang sama, Sanusi turut bersimpati dengan penduduk seperti Kampung Kota Aur, Kampung Surau dan beberapa kampung lagi sekitar Belantik yang sering dilanda banjir apabila air di empangan melimpah.

Namun katanya, kejadian banjir itu tidak lama kerana lebih kepada laluan air lalu serta mula kering dan tidak bergenang.

Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan Projek Tebatan Banjir (RTB) di Anak Bukit, Pendang dan Baling (fasa 2) segera siap dan pembinaanya mengikut sepertimana yang dijadualkan.

“Pendang agak kritikal kerana bila berlaku banjir, air akan ‘termenung’ lama, tak dapat mengalir ke mana-mana. Harap dipercepatkan ikut jadual yang ditetapkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/11/2024