Bekalan elektrik dihenti elak risiko akibat banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Susulan banjir yang kian membimbangkan di negeri ini khususnya di beberapa daerah seperti Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah, sebanyak 11 pencawang elektrik dihentikan bekalannya malam tadi.

- Advertisement -

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasminya kira-kira pukul 9:00 malam tadi memaklumkan, bekalan elektrik berkenaan ditutup demi keselamatan pengguna khususnya di tempat berkaitan (banjir).

Antara kawasan yang dihentikan bekalan elektrik di daerah Kota Bharu ialah G-Orange, Sekolah Kebangsaan Kadok dan Taman Sri Kulim manakala daerah Pasir Puteh pula ia melibatkan DPS 9-12, BELB Sungai Gali, Kilang Bata Tasek Pauh dan Yik Tualang Tinggi.

TNB turut memaklumkan sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat, bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

“Sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Masyarakat juga diminta menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan isteri Datin Panglima Perang, Ustazah Wan Nor Hanita Wan Yakob berpeluang melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas.

Turut mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Insan dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim.

Setakat awal malam tadi, 44 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati.

Menteri Besar juga turut menyantuni pasukan keselamatan, petugas banjir yang berkorban masa dan jiwa mereka membantu mangsa-mangsa banjir.

“Terima kasih diucapkan kepada Agensi Bencana Negeri, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rela, PDRM dan semua pihak yang memainkan peranan dalam berganding bahu dalam membantu mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya pada sesi lawatan itu. – HARAKAHDAILY 28/11/2024