MUSIM tengkujuh yang melanda negeri-negeri di pantai timur membawa cabaran besar kepada masyarakat. Banjir bukan sahaja menenggelamkan harta benda, tetapi juga mengancam keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat. Dalam keadaan seperti ini, Islam mengajar kita untuk menjaga keselamatan diri, mematuhi arahan pihak berwajib, dan yang paling penting, berusaha membantu satu sama lain, khususnya mereka yang sedang menghadapi kesusahan.
2. Tanggungjawab membantu sesama insan
Allah SWT memerintahkan kita untuk saling membantu dalam perkara kebaikan dan takwa, sebagaimana firman-Nya:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah Al-Ma’idah: 2)
Nabi Muhammad SAW juga mengingatkan kita tentang kelebihan membantu mereka yang dalam kesusahan. Baginda bersabda:
theمَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ
“Barang siapa yang menghilangkan kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahannya dari kesusahan di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2699)
Malah, Baginda SAW juga bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” (Hadis Riwayat al-Mu’jam al-Awsat, no. 5787)
3. Jadikan banjir sebagai peluang beramal
Kejadian banjir tidak seharusnya dianggap sebagai peluang untuk berseronok. Sebaliknya, kita perlu menjadikannya peluang untuk melaksanakan amal kebajikan. Dalam membantu mereka yang terkesan, kita dapat meringankan beban mangsa yang berdepan dengan kesukaran kehilangan tempat tinggal, kekurangan bekalan makanan, dan cabaran hidup di pusat pemindahan sementara. Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ
“Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2442; Muslim, no. 2580)
4. Kerjasama semua pihak diperlukan
Saya menyeru masyarakat awam, pihak berwajib, NGO, dan sukarelawan untuk berganding bahu bersama Khidmat Malaysia dalam menguruskan keperluan mangsa banjir. Bantuan awal seperti makanan, minuman, dan air bersih adalah kritikal, terutama pada peringkat awal banjir. Khidmat Malaysia kini bekerjasama dengan Yayasan Amal Malaysia dalam mengumpul dana bagi mengoperasikan Dapur Rakyat, yang menyediakan makanan dan minuman kepada mangsa banjir, terutama golongan kanak-kanak yang sering berhadapan dengan kekurangan makanan bersih pada saat genting ini.
5. Hulurkan sumbangan anda
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyumbang walau sekecil RM5 bagi memastikan mangsa banjir, khususnya kanak-kanak, mendapat makanan dan minuman bersih. Amal kecil ini adalah peluang untuk kita meraih ganjaran besar daripada Allah SWT, sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ أَطْعَمَ جَائِعًا أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ
“Barang siapa yang memberi makan kepada orang lapar, Allah akan memberinya makan dari buah-buahan syurga.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2449)
Sumbangan boleh dihulurkan melalui Akaun Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) di Bank Maybank (No. Akaun: 562384542866) atau Akaun Bank Islam (No. Akaun: 12225010037517). Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-56553427 (Hotline).
6. Kesimpulan
Banjir bukan pesta tetapi ia adalah ujian yang menuntut kita untuk bersatu hati dan bertindak. Islam menekankan pentingnya membantu mereka yang memerlukan. Dengan semangat kebersamaan, mari kita jadikan banjir ini sebagai peluang untuk beramal dan meringankan beban saudara-saudara kita. Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
`Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah`
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Pengerusi Khidmat Malaysia
Tarikh: 26 Jamadil Awal 1446H / 28 November 2024 – HARAKAHDAILY 28/11/2024