PASIR PUTEH: ADUN Gaal Mohd Rodzi Jaafar meredah arus banjir bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di DUN Gaal yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Bot yang dipandu petugas Pusat Khidmat DUN melewati banyak rumah penduduk yang dinaiki air bah sehingga ke dalam rumah. Malah ada rumah penduduk yang tenggelam separuh.
Antara kampung yang diziarahi Pulau Sa, Temila, Gong Chepa, Ghanggai, Batu Hitam dan Gong Garu.
Pada lawatan itu beliau menyampaikan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir terbabit.
Manakala di Kubang Kerian ADUN Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus melawat mangsa banjir yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Long Gafar sejak semalam.
PPS tersebut menempat kira-kira seramai 133 mangsa banjir. PPS di Sekolah Kebangsaan Gong Dermin pula seramai 48 mangsa banjir serta Maahad Taqadum Maarif di Pasir Tumboh (105) dan Sekolah Kebangsaan Tiong (33).
Di DUN Salor empat PPS dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Salor, Sekolah Kebangsan (SK) Dewan Beta, SK Kedai Piah dan SK Mulong Satu.
ADUN Salor Saizol Ismail berkata selepas berakhirnya sidang DUN semalam, beliau menziarahi penduduk yang berpindah ke PPS tersebut.
“Selepas sidang DUN semalam saya datang ke PPS di DUN Salor dan jumlah mangsa banjir dijangka bertambah sekiranya hujan masih berterusan,” katanya.
SK Dewan Beta menempatkan seramai 126 penduduk, SK Kedai Piah (53 orang), SK Mulong Satu (271) dan Sekolah Menengah Salor (81), menjadikan jumlah mangsa dipindahkan di DUN Salor seramai 531.
Manakala di DUN Demit hanya sebuah PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian Dua yang dibuka hari ini menempatkan 291 penduduk.
ADUN Demit Mohd Asri Mat Daud sejak semalam turun padang menziarahi penduduk yang berpindah ke PPS. – HARAKAHDAILY 28/11/2024