‘Adakah MP DAP itu tidak tahu peraturan ini?’

Politikkan isu bahasa papan tanda dikuatkuasakan DBKL

- Advertisement -

SUBANG: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir menegaskan pentingnya mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, terutama dalam isu penggunaan papan tanda premis perniagaan di Kuala Lumpur.

Beliau mengkritik tindakan sesetengah pihak, termasuk Ahli Parlimen DAP yang mempertikaikan penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda, dengan menyifatkannya sebagai cubaan mengelirukan Dewan Rakyat. 

Menurut Roslan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjelaskan bahawa nama syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan atau Akta Syarikat tidak perlu diterjemahkan ke Bahasa Melayu kerana ia adalah nama khas, seperti KFC dan DIY.

“Adakah MP DAP itu tidak tahu peraturan ini atau sengaja buat-buat tidak tahu?” katanya turut mengkritik kenyataan seorang Menteri yang mendakwa pelancong asing mengadu ketiadaan papan tanda dalam bahasa mereka.

Menurut beliau, peraturan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama bersama bahasa lain telah diperkenalkan DBKL sejak tahun 1982. 

Roslan menegaskan, dominasi DAP dalam kerajaan hari ini menyebabkan isu-isu sebegini diperbesarkan, menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘benang basah yang cuba ditegakkan’.

Beliau memuji bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana lantang menyuarakan kebimbangan berhubung situasi penggunaan Bahasa Melayu di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur yang kini kelihatan seperti berada di negara asing. 

“Pertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita,” tegas Roslan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024

- Advertisement -