Video temubual PM-CNN: ‘Adakah ia disunting atau tidak?’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masih tiada tindakan diambil terhadap individu yang didakwa menyunting video temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Richard Quest daripada CNN pada 15 November lalu.

- Advertisement -

Menurut Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), isu tersebut pernah dibangkitkan sebelum ini dan dijelaskan oleh timbalan menteri bahawa kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis.

Namun, katanya, sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenai tindakan terhadap penyunting video tersebut.

“Sudah hampir dua minggu tapi tidak ada tindakan kepada orang yang menyunting video Perdana Menteri yang kita sayangi ini.

“Jadi ini yang menjadi masalah kita pada hari ini ialah apabila Perdana Menteri menyebut perkataan ataupun menyatakan fakta kepada CNN itu dikatakan bahawa itu telah disunting.

“Jadi saya ingin mendapatkan penjelasan, adakah ia disunting atau tidak dan kalau ia disunting, minta dihadapkan mereka ini ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangannya terhadap penyebaran kandungan video yang boleh mengelirukan masyarakat jika konteks asal diputarbelitkan, terutama dalam isu-isu melibatkan kenyataan rasmi.

“Sebab saya bimbang takut saya tertukar di antara yes dengan no ataupun no menjadi yes dan sebagainya. Jadi ini boleh menyebabkan kita bersalah sangka dengan Perdana Menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024