TMK 2025: Kedah siap sedia dalam setiap aspek

- Advertisement -

ALOR SETAR: Usaha yang drastik serta menyeluruh dilaksanakan bagi mempastikan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 berlangsung dengan jaya, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin.

- Advertisement -

Menurut beliau, pertemuan dan sesi libat urus dengan hampir kesemua pemain-pemain industri, sama ada di Langkawi mahupun di tanah besar Kedah.

“Termasuk pengusaha hotel, pemandu pelancong hinggalah pemandu teksi dan kereta sewa, tidak terkecuali pengusaha restoran berbintang-bintang hinggalah peniaga kecil di tepi jalan, semuanya dibawa berbincang dan didengar buah fikiran masing-masing.

“Berkat kerjasama dan komitmen semua pihak, termasuk jabatan dan agensi-agensi Persekutuan dan Negeri, banyak hasil dapat dituai dan banyak perkara dapat dicapai,” jelasnya ketika berucap pada sesi pergulungan sempena Sidang DUN Kedah, hari ini.

Ujarnya, pada 5 Disember depan, syarikat penerbangan Batik Air akan memulakan penerbangan sulungnya bagi laluan Kuala Lumpur ke Alor Setar di mana penerbangan terus ini akan beroperasi tujuh kali seminggu dengan menggunakan pesawat Boeing 737.

Dalam pada itu kata Dato’ Salleh lagi, pihaknya kini sedang mengusahakan laluan baharu Alor Setar ke Kota Bharu, bagi memberi impak berganda merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Sementara, cadangan Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) iaitu berkenaan menaiktaraf Projek Pembangunan Rekreasi Jeruju di Kubang Pasu, juga menarik minat beliau.

Katanya, Pusat Rekreasi Jeruju adalah salah satu produk yang mampu diketengahkan dengan keunikannya yang tersendiri iaitu dapat melihat matahari terbenam.

“Ia mampu menjadi tumpuan ramai pelancong khususnya dari dalam negeri untuk datang berkhemah kerana kebersihan serta keindahan alam semula jadinya.

“Namun begitu, untuk memastikan kawasan tersebut sedia dilawati, beberapa perkara asas perlu di ambil kira seperti kemudahan tandas, surau, bekalan air, kawasan tapak parkir.

“Serta beberapa elemen keselamatan lain yang penting untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung,” jelas beliau

Dato’ Salleh juga mengambil kira atas cadangan Amar Pared Mahamud (PN-Kuah) agar laluan pendakian Gunung Jerai dinaik taraf, namun katanya buat masa ini belum ada perancangan khusus dari pihak kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

“Kita sebenarnya lebih kepada hendak mengekalkan alam semula jadi yang sedia ada. Jika kita mempunyai hasrat ke arah itu sekalipun, banyak perkara perlu dipertimbangkan dan banyak kajian perlu dibuat kerana hal-hal membabitkan alam sekitar ini selalunya agak sensitif,” tambahnya.

Berkaitan penggunaan teknologi raptimaya khususnya untuk memelihara Kota Kuala Kedah sebagai destinasi interaktif, katanya melalui inisiatif promosi digital ini, kota itu dapat diposisikan sebagai destinasi sejarah dan warisan menarik, walaupun tiada bajet khas untuk perkara tersebut.

“Berkenaan pendapatan nelayan darat di tasik dan sungai yang diajukan pada sesi perbahasan semalam, Kerajaan Negeri sebenarnya telah mempertimbangkan untuk membangunkan produk pelancongan berasaskan nelayan darat ini.

“Antaranya menyediakan Pakej Pelancongan Sungai dan Tasik, di mana pelawat ditawarkan peluang merasa ‘pengalaman’ sebagai nelayan darat, Pakej Belajar Memancing Udang Galah, mempelajari teknik pembuatan pekasam daripada nelayan tempatan, Pesta Memancing Ikan Darat dan sebagainya.

“Semua perancangan itu melibatkan nelayan darat dalam menjayakan  TMK 2025,” tegasnya.

Namun sambung beliau, tidaklah semua perkara itu dilakukan apabila tibanya tahun 2025, sebaliknya digerakkan lebih awal sebelum menjelang tahun depan.

Pihaknya juga tambah beliau melihat penglibatan serius pihak-pihak swasta dan NGO, termasuk Koperasi Pekan Rabu, yang memberi kerjasama erat dalam penganjuran program-program bertujuan menghangatkan suasana persediaan menyambut TMK 2025.

Hasilnya antara lain, program ‘Dam Camp 2024’ di Tasik Pedu, Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah, Temasya Oghang Kedah 2024, Pasar Lambak Pekan Rabu, Pasar Lorong Kereta Api, Baling Bercahaya dan banyak lagi.

“Kita tidak hanya membuat _‘warming up’_ dengan program-program yang bertujuan menarik kehadiran pengunjung, tetapi juga memastikan bersiap sedia dalam aspek-aspek lain, termasuk kebersihan dan kesihatan,” katanya lagi.

Justeru , pada 19 Disember akan datang jelasnya, akan diadakan  Gotong-Royong Perdana, melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri.

“Harapan saya selepas Gotong Royong Perdana itu, sebahagian daripada Kedah ini akan berwajah baharu. Wajah yang ceria, bersih dan sedap mata memandang.

“Gotong Royong Perdana ini  hanyalah sebahagian daripada inisiatif kita untuk menyediakan yang terbaik kepada pelawat dan pelancong,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2024