Tiong langgar sumpah: Pecat atau letak jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim diminta menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi membatalkan jawatan disandang Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.

- Advertisement -

Anwar turut disaran menasihati King Sing untuk meletak jawatan menurut Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan selepas beliau sekali lagi menimbulkan kontroversi.

Ia apabila Menteri itu mengkritik penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina kerana ia mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

Setiausaha Agung Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Aswanizam Alias berkata, ini bukanlah kali pertama King Sing melanggar sumpah setianya dan gagal menjalankan tugasnya mengikut objektif kementerian yang dipimpinnya.

“Jika King Sing terus kekal memegang jawatan tanpa dipecat atau meletakkan jawatan, ia menunjukkan Perdana Menteri gagal untuk memastikan semua aggota kabinetnya menghormati sumpah setia yang dilafazkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Ini adalah satu penghinaan kepada Ketua Utama Negara yang seharusnya tidak ada tolak ansur. Tiada guna menerapkan pembacaan Rukun Negara penuh di semua kementerian dan agensi, tetapi tiada penghayatan untuk menjalankannya dengan penuh amanah.

“Kesetiaan Kepada Raja dan Negara itu antara tonggak yang harus ditegakkan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Aswanizam berkata, Menteri yang berkali-kali melakukan perkara melanggar sumpah jawatan mereka, mencemarkan komitmen Perdana Menteri itu sendiri dalam mempertahankan sumpah setianya pula kepada Yang di-Pertuan Agong.

“King Sing dua kali bersumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama, bersumpah sebagai Ahli Parlimen Malaysia. Kedua bersumpah memegang jawatan Kabinet di bawah Kerajaan Malaysia.

“Beliau berkali-kali melanggar sumpah setianya untuk mempertahankan Malaysia dan Perlembagaannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024