SHAH ALAM: Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) bersetuju bahawa isu kebajikan juga sangat mempunyai kaitan secara langsung dalam aspek ekonomi.
“Apabila individu itu berkorban untuk menjaga orang tuanya, aspek ekonomi peribadinya (sendiri) menyusut. Tetapi aspek ekonomi keluarganya meningkat.
“Kerana hanya dia seorang yang berkorban untuk menjaga ibu bapanya. Sedangkan ahli keluarganya yang lain boleh menumpukan kepada perniagaan dan pekerjaan.
“Jadi aspek kebajikan ini sebenarnya memberi kesan secara langsung kepada ekonomi global dan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu beliau menyokong peruntukan diberikan kepada penjaga-penjaga sedemikian supaya mereka lebih komited dan bersungguh untuk memelihara orang-orang yang dibawah tanggungan.
Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan usul Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024 hingga 2030 oleh Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Yi Wei berkata, dasar itu diwujudkan bagi menghargai pengorbanan serta produktiviti yang terjejas dalam kalangan penjaga tidak formal seperti anak-anak atau individu yang menjaga ibu bapa.
“Kerajaan Persekutuan pun telah mengiktiraf isu ini dengan penyediaan skim seperti i-Suri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi suri rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024