SHAH ALAM: Program saringan kesihatan warga emas sangat penting kerana ia membantu mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal yang membolehkan rawatan atau intervensi dilakukan sebelum keadaan menjadi serius.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) mencadangkan supaya program di bawah Kerajaan Persekutuan diselaraskan dengan program negeri bagi memastikan impak yang lebih baik kepada golongan tersebut.
“Adakah Kerajaan Negeri merangka satu dasar khusus untuk warga emas terutamanya dari sudut kesihatan agar dapat dijaga dengan baik termasuklah ekonomi dan sosial,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dalam usaha meningkatkan penjagaan kesihatan warga emas dengan mengadakan beberapa perbincangan dan lawatan kerja.
“Kita telah menjalankan beberapa kali perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Kita juga telah menjalankan lawatan bersama di Jepun untuk mengambil pengalaman dan menggerakkan gerak kerja dalam isu berkaitan kesihatan warga emas,” katanya.
Dalam soalan asal, Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) minta Exco berkenaan menyatakan statistik para peserta Selangor dari segi umur dan jantina dan perancangan kerajaan mengenai pelaksanaan program saringan kesihatan khususnya warga emas.
Selain itu, beliau turut minta kerajaan negeri menyatakan inisiatif tambahan yang akan diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran warga emas mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan. – HARAKAHDAILY 27/11/2024