Perlis berupaya melangkah lebih jauh – Pemuda PAS

- Advertisement -

PADANG BESAR: Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun menyuarakan komitmen penuh pihaknya untuk mendukung agenda pembangunan negeri, khususnya di bawah portfolio belia dan sukan yang kini diterajui ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

- Advertisement -

Menurut beliau, pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah berdasarkan kuota telah ditetapkan dalam Perikatan Nasional, dengan pelantikan Exco daripada BERSATU diserahkan sepenuhnya kepada parti tersebut.

“Dalam pelantikan Ustaz Ridzuan sebagai memegang portfolio belia dan sukan, Pemuda Negeri akan memberikan sokongan padu kepada beliau untuk menjayakan agenda membangunkan belia dan sukan di negeri ini,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri turut berkata, pihaknya akan terus mendukung usaha Kerajaan Negeri dalam memantapkan pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Semoga amanah besar ini dilaksanakan dengan penuh dedikasi untuk terus memajukan negeri Perlis,” tambahnya.

Haziq turut menghargai jasa dan sumbangan mantan Exco terdahulu, yang menurutnya telah banyak berkorban untuk kepentingan rakyat dan negeri.

“Dengan kepimpinan dan kebijaksanaan barisan Exco baharu, saya percaya Perlis akan melangkah lebih jauh ke hadapan. Pengorbanan dan pencapaian mantan Exco akan sentiasa dikenang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2024