KOTA BHARU: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi menegur pembangkang kerana membangkitkan soalan tambahan tiada kaitan isu asal.
Sebelum itu Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) bertanya status penyakit berjangkit sedangkan soalan asal berkaitan penyakit mental dan keganasan rumahtangga.
Adun terbabit juga mengaitkan keganasan dan pembunuhan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin kebanyakan membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak.
Mohamed Farid berkata, soalan lisan harus berkisar dalam permasalahan yang sama dengan soalan tambahan yang dikemukakan mana-mana wakil rakyat.
“Sebelum saya teruskan susunan persidangan suka saya ingatkan kepada Yang Berhormat, soalan tambahan haruslah berkaitan dengan soalan asal,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah mengakui keganasan rumahtangga merupakan penyakit mental dalam kateori penyakit tidak berjangkit.
Bagaimanapun beliau turut menzahirkan dukacita terhadap apa yang dibangkitkan pembangkang berkaitan 1,760 kes keganasan rumah tangga di Kelantan antara 2020 sehingga 2023.
“Cuma antara penyakit tidak berjangkit iaitu mental, kita letak kategori keganasan rumahtangga di bawah mental lah dan kita pun dukacita dinyatakan Kota Lama iaitu 1,760 berlaku di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024