ALOR SETAR: Program Ameniti Sosial (PAMS) merupakan kemudahan awam disediakan untuk kegunaan masyarakat yang dikongsi bersama dan menjadi tumpuan komuniti setempat serta sekitarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, kemudahan itu melibatkan tempat, bangunan atau prasarana yang akan digunakan bagi menjalankan fungsi sosial.
“Kemudahan PAMS ini secara tidak langsung membantu membentuk masyarakat yang harmoni dan maju,” jelasnya menjawab soalan Mardhiyyah Johari (PN-Pengkalan Kundur) pada Sidang DUN Kedah, hari ini.
Pada soalan yang diajukan oleh Mardhiyyah, beliau memohon jawapan berkenaan jumlah peruntukan telah diluluskan untuk projek ameniti sosial bagi Negeri Kedah untuk tahun 2024.
Kata Ashah lagi, pada 2024, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6,724,802 untuk aktiviti PAMS di Kedah dengan setakat ini sebanyak 60 projek ameniti sosial yang dimohon di setiap daerah di negeri ini.
“Projek-projek ini merangkumi naik taraf masjid, surau, titi konkrit, stor, tandas surau, dewan orang ramai dan medan selera,” tambahnya.
Sementara ujarnya, di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi 37 projek melibatkan 10 daerah di bawah pelaksanaan PAMS di Negeri Kedah 2024.
Dalam pada itu, Ashah juga memaklumkan, KKDW telah memberi keutamaan segera dengan meluluskan sembilan projek bina baru dan baik pulih jambatan yang terkesan akibat banjir puing di Kampung Iboi, Baling.
“Pada 7 November 2024 yang lalu, saya telah menghadiri mesyuarat penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco luar bandar di Melaka.
“Dalam mesyuarat ini, telah saya mohon perhatian YAB Menteri berkenaan infra-infra yang terjejas di daerah yang terlibat dengan bencana seperti banjir dan ribut.
“Terdapat tujuh daerah yang telah menghantar permohonan dan sedang disemak oleh Pengarah KKDW Negeri untuk diangkat ke peringkat Kementerian,” katanya.
Mardhiyyah terdahulu melalui soalan tambahannya, ingin mengetahui peranan KKDW dalam membantu kepada kerja-kerja baik pulih fasiliti awam yang terjejas akibat bencana.
Sementara, menjawab soalan diajukan Rashidi Razak (PN-Anak Bukit) katanya, KKDW juga meluluskan beberapa cadangan untuk menambahbaik PAMS supaya menjadi ‘Game Changer’ atau pengubah keadaan.
Khusus kata beliau, dalam meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan rakyat dalam menggunakan kemudahan awam.
“Antaranya,menyediakan prasarana lampu solar di lokasi strategik kemudahan awam seperti surau, balai raya, tanah perkuburan dan titi.
“Sekali gus, ia akan menggalakkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dan meningkatkan keselamatan penduduk kampung,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2024