KOTA BHARU: Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Mesira, Bachok terpaksa dihenti operasi buat sementara akibat limpahan banjir yang memasuki kawasan dan bangunan sistem rawatan loji pagi ini.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan keadaan itu menyebabkan hampir 1,300 akaun pengguna terbutus bekalan air buat sementara waktu.
Antara kawasan terlibat Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal, Kampung Tok Jawa, Kampung Budi, Kampung Pintu Gerbang.
Turut terlibat pengguna di Kampung Wakaf Zin, Kampung Desa Kerian, Kampung Dusun Durian, Kampung Chicha Menyabung dan Kampung Gajah Mati.
“Untuk sementara AKSB akan menggerakkan lori tangki bagi membantu pengguna yang terjejas.
“AKSB melalui PINTAS juga akan membuat pemakluman kepada pengguna terlibat melalui sistem Infoblast dan ia akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu hari ini.
AKSB juga akan memaklumkan perkembangan lanjut di laman sesawang www.airkelantan.com.my.
Makkumat juga akan dimaklumkan melalui aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau boleh hubungi PINTAS di talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang aduan. – HARAKAHDAILY 27/11/2024