Naik taraf jalan perlu dilakukan atasi isu kesesakan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kesesakan trafik yang semakin teruk di jalan B19 Sungai Lalang telah memberi kesan kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya.

- Advertisement -

Nushi Mahfodz (PN-Semenyih) berkata, jalan itu pada asalnya adalah jalan kampung, kini telah berkembang menjadi kawasan perindustrian dengan kewujudan Nirvana Memorial Park dan Anyara Hills yang terlalu besar.

“Bercakap tentang Tahun Melawat Selangor pada tahun hadapan, jadi saya mohon sangat-sangat (selesaikan masalah ini). Kalau tidak minta kepada pemaju Anyara Hills itu untuk bina jejambat.

“Selain itu, saya mohon agar Kerajaan Negeri dapat menaik taraf Jalan Sungai Pening yang boleh tembus ke Bandar Tech,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan penggulungan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir Izham Hashim di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula isu itu dan telah membuat pertemuan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri baru-baru ini

“Jalan-jalan negeri yang ada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ada yang tidak relevan lagi dan kita akan kaji semula sebab dengan peruntukan yang ada kita mohon untuk masukkan ke dalam projek yang baru iaitu RMK13,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024