KUALA TERENGGANU: Muslimat PAS Negeri Terengganu menzahirkan rasa kesal dan mengecam kenyataan dikeluarkan pemimpin PAN yang menafikan hak royalti minyak sepatutnya menjadi milik mutlak rakyat negeri itu.
Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman berkata, kenyataan mereka itu jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab serta pengkhianatan terhadap hak rakyat negeri ini yang berdaulat.
“Perkara ini amat mengecewakan memandangkan hasil petroleum adalah hak telah dijamin di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, di mana perjanjiandimeterai memberi hak kepada negeri-negeri pengeluar.
“Termasuk Terengganu, untuk menerima pembayaran royalti sebanyak lima peratus. Kenyataan PAN tidak hanya bercanggah dengan semangat federalisme, malah menzalimi rakyat Terengganu, setelah sekian lama bergantung kepada hasil ini untuk pembangunan sosioekonomi negeri.
“Adakah PAN buta terhadap realiti kehidupan rakyat Terengganu yang bergelut dengan isu ekonomi, kos sara hidup yang semakin meningkat, serta keperluan pembangunan infrastruktur?
“Adakah mereka lupa bahawa royalti ini adalah sumber utama yang digunakan untuk membantu golongan miskin, meningkatkan peluang pendidikan dan membangunkan prasarana negeri?” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau juga mempersoalkan agenda sebenar PAN kerana sanggup menggadaikan hak rakyat Terengganu demi kepentingan politik sempit mereka yang hanya mencerminkan keangkuhan dan kecenderungan untuk mengabaikan keadilan serta kesejahteraan rakyat.
“Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk bangkit mempertahankan hak kita. Jangan sesekali membiarkan pihak-pihak tertentu terus menafikan hak yang telah dijamin kepada kita.
“Kami juga mendesak Kerajaan Persekutuan untuk bersikap adil dan profesional dalam menyelesaikan isu ini tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, Pengarah Komunikasi PAN Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, Terengganu sejak dari awal tidak pernah mempunyai hak terhadap royalti minyak.
Sebaliknya kata beliau, ia merupakan wang ehsan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi membantu rakyat di negeri itu.
Katanya, sama ada ia ditermakan sebagai royalti ataupun wang ehsan, kedua-keduanya adalah pemberian wang ehsan daripada Perdana Menteri berikutan minyak yang dijumpai di luar tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri. – HARAKAHDAILY 27/11/2024