MP Wanita PN bantah tambah waktu kerja jururawat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Wanita Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan kerajaan untuk menambah waktu kerja jururawat daripada 42 jam seminggu kepada 45 jam.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, penambahan waktu kerja itu akan memberi kesan negatif kepada kebajikan jururawat serta keselamatan pesakit.

Menurut beliau, beban tugas jururawat yang kini menguruskan kes kritikal di hospital sudah cukup tinggi, terutama di wad kecemasan dan unit rawatan rapi (ICU).

“Faktor yang pertama ialah beban tugas jururawat hari ini yang kita tahu sentiasa mengikut jadual berisiko dan kritikal di hospital-hospital.

“Tadi kita baru dengar ucapan daripada Yang Berhormat Singh berkenaan dengan kenaikan kos di hospital swasta yang akan menyebabkan lagi jumlah kedatangan pesakit akan kian meningkat dengan peningkatan kos rawatan di klinik dan hospital swasta.

“Penambahan waktu kerja juga akan meningkatkan bebas tugas sedia ada jururawat dan bidang kerja ini melibatkan beberapa ejen rawatan dan pemberian ubat kepada pesakit dalam wad. Termasuklah jururawat yang bekerja di wad kecemasan dan juga di ICU.

“Jadi dalam hal ini kerajaan tidak boleh mempertaruhkan nyawa rakyat dan juga pesakit yang berada setiap hari di seluruh negara, soal hidup soal mati dan kebajikan pesakit ini bakal terjejas dan berisiko kerana ia akan membahayakan nyawa pesakit, Jururawat yang keletihan akibat daripada waktu kerja panjang akan kurang fokus yang lagi mampu untuk bersikap ramah dan bersiap siaga untuk membantu orang lain di saat mereka sangat penat,” tegasnya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor.

Beliau berkata, ketelitian, kepakaran dan komitmen tinggi yang diperlukan oleh jururawat, terutamanya pada masa kini, memaksa mereka untuk sentiasa berdiri dan bergerak aktif sepanjang masa di wad.

“Kita tengok mereka tak pernah duduk pun. Jadi kalau bekerja itu 12 jam, bekerja itu lima jam, empat jam, kalau bersambung syif bekerja mereka akan sentiasa berdiri dan mereka juga berhadapan dengan waktu cemas sepanjang hari kerana orang yang duduk hospital adalah orang yang memerlukan pengawasan rapi dan khusus di samping tugasan pentadbiran harian di hospital dan klinik.

“Jadi kita tak adil untuk kita samakan di antara beban tugas orang yang bekerja di pejabat biasa berbanding dengan kakitangan ataupun jururawat yang bekerja di hospital.

“Kita mengharapkan kerajaan akan merujuk dan melihat bantahan demi bantahan yang dikemukakan oleh Persatuan-Persatuan yang melibatkan jururawat dan juga sektor kesihatan dalam negara kita. Banyak insiden kemalangan berlaku bila mana jururawat-jururawat ini pulang daripada kerja syif malam. Mereka akan mengalami sebagai contohnya microsleep.

“Jadi kita tengok banyak kes yang dilaporkan dan ada satu kes itu melibatkan seorang doktor yang tertinggal anak dalam kereta akibat mereka ini sangat keletihan.

“Jadi ia juga melibatkan sektor kesihatan. Jadi nurse, doktor adalah mereka yang bekerjasama dan kita membahayakan bukan setakat nyawa mereka, tapi nyawa keluarga mereka di samping nyawa pesakit,” katanya.

Sementara, menurut Mumtaz, penambahan waktu kerja mungkin mendorong lebih ramai jururawat berhenti kerja, memperburuk kekurangan tenaga kerja di sektor kesihatan.

“Negara kita juga diberitahu mengalami masalah kekurangan jururawat dan diberitahu akan mengalami lagi sehingga lebih teruk sehingga 60 peratus.

“Penambahan waktu kerja mungkin mendorong lebih ramai jururawat berhenti kerja akibat daripada tekanan mental dan psikologi serta physiologi mereka,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan penyelesaian alternatif seperti kenaikan gaji, pembukaan lebih banyak peluang latihan, serta jadual kerja fleksibel, sebagaimana diamalkan di negara lain.

“Sebagai solusinya yang sepatutnya dengan peningkatan kerja baru untuk SPA ni kita perlu bincang untuk naikkan gaji jururawat dan membuka pelbagai soalan segera untuk meramaikan lagi bilangan jururawat dan juga kerajaan boleh mempertimbangkan sebagai negara-negara lain untuk mengkaji jadual kerja fleksibel sedia ada bukan menambah waktu kerja mereka.

“Kita bimbang, kita nyatakan ini kerana keperihatinaan kita kepada kuantiti iaitu bilangan jururawat, kualiti khidmat, kebajikan jururawat dan keselamatan pesakit.

“Penambahan waktu kerja tanpa memperbaiki keadaan sekerja dan sokongan yang mencukupi boleh membawa kesan yang sangat negatif kepada negara kita dan ianya harus ditarik balik dan dikaji semula secara menyeluruh untuk membantu menaikkan imej kepakaran dan meringankan beban jururawat demi meningkatkan mutu kesihatan dan rawatan negara kita.

“Jangan sesekali bandingkan kerja mulia ini dengan berkira untuk tiga jam tambahan waktu untuk mereka bekerja sedangkan yang kita mahu selamatkan ialah jutaan nyawa pesakit. Yang berada di tangan mereka.

“Semoga Allah sentiasa memberkati jururawat kita. Terima kasih jururawat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -