KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerima pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat), semalam.
Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah itu berlangsung di Wisma Pertahanan, Kem Kementah, di sini yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. (Foto atas)
Beliau menerima pangkat tersebut atas pelantikan sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Terengganu.
“Terima kasih kepada pucuk kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) di atas kepercayaan, pemakaian dan penganugerahan pangkat yang diberikan,” ujarnya.
Tan Sri Prof Dr Fng Ah Seng turut anugerahkan pemakaian pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) sebagai JAKPAW bagi negeri Pulau Pinang.
Pada majlis tersebut, pemakaian pangkat Mejar Jeneral (Kehormat) telah dianugerahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali sebagai Pengerusi Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Se-Malaysia (SPJP).
Sementara itu, Mohamed Khaled menyatakan kelulusan pangkat dianugerahkan setelah perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap syor Majlis Angkatan Tentera sesuai dengan peranan mereka dalam menyelaras dan memperkasa pembangunan Rejimen Askar Wataniah di peringkat nasional dan negeri masing-masing.
“Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan. Semoga dengan pemakaian pangkat ini, diharap agar dapat menerajui kepimpinan yang telah diamanahkan dengan sebaiknya,” ujarnya menerusi laman sosial. – HARAKAHDAILY 27/11/2024