Negara perlu utama tenaga lestari – Tuan Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Malaysia perlu memberi keutamaan kepada sumber tenaga lestari sedia ada sebelum mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear.

Beliau menyuarakan pendangan tersebut dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan kakitangan eCEOs yang menjalankan tinjauan bagi pihak TNB Research untuk Program Peralihan Tenaga Negara.

“Malaysia menyasarkan kepada perubahan dalam sistem negara daripada terus bergantung kepada bahan api fosil kepada sistem yang berasaskan tenaga bersih, lestari serta rendah karbon, sesuai dengan sasaran kerajaan ke arah Sifar Karbon 2050.

“(Namun) buat masa sekarang, sumber tenaga negara masih didominasi oleh bahan api fosil dan arang batu dengan peratusan sebanyak 74 peratus, manakala solar dan hidro masing-masing menyumbang sebanyak 8.1 peratus dan 16.1 peratus,” katanya.

Tuan Ibrahim turut menyambut baik cadangan Menteri Ekonomi untuk memasukkan sumber tenaga nuklear dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah diperakukan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun usaha itu dianggap langkah positif ke arah matlamat Sifar Karbon 2050, beliau menekankan keperluan kajian mendalam serta usaha mendidik dan memahamkan rakyat mengenai kebaikan serta impak tenaga nuklear.

“Kita tidak mahu ketidakfahaman dan juga kekurangan kesedaran oleh rakyat seperti isu Lynas dahulu, dipolitikkan oleh mereka yang hanya ingin mengambil kesempatan,” jelas beliau.

Sebagai alternatif, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mencadangkan agar Malaysia mengoptimumkan sumber tenaga lestari sedia ada dengan memperbanyakkan pembangunan loji janakuasa hidro mini.

Beliau berharap pengalamannya sebagai bekas Menteri Alam Sekitar dan Air dapat dimanfaatkan untuk menyumbang kepada pembangunan lestari negara. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -