Malaysia perlu percepat usaha miliki satelit sendiri

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempercepatkan usaha memiliki satelit sendiri bagi merancakkan pembangunan teknologi angkasa.

- Advertisement -

Menurut Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu), penantian negara untuk memiliki satelit sendiri sudah terlalu lama dan tiba masanya untuk bertindak lebih pantas.

“Sudah terlalu lama Malaysia menunggu untuk memiliki satelit milik sendiri. Kali terakhir adalah pada tahun 2009 kita lancarkan RazakSAT. Itu pun selepas kita lancar imej lari 37 kilometer. Tak boleh pakai.

“Sekarang ni kita tunggu 10 tahun, itu pun kelulusan 2019 kita jangka 2028 baru boleh pakai. Jadi ia perlu dipercepat bagi merancakkan pembangunan teknologi angkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahmad Amzad turut mempersoalkan status pembangunan Bandar Angkasa yang akan menempatkan industri pembuatan komponen berkaitan angkasa, pusat kawalan operasi, dan pelancaran aeroangkasa.

“Jadi apa status masa berkaitan dengan bandar angkasa ini? Dan selain daripada itu saya ingin bertanya mengenai usaha kerajaan untuk meratifikasikan triti angkasa lepas antarabangsa. Dah lama kita bercakap ini bagi melindungi kepentingan negara bilakah ia akan berlaku?,” soalnya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) yang dibuka pada awal 2022 telah menerima empat bidaan, namun tiada satu pun syarikat memenuhi syarat teknikal mandatori.

Mengulas mengenai pembangunan Bandar Angkasa, Chang berkata, ia merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030.

Menjawab bagi penyertaan dalam perjanjian antarabangsa, beliau berkata, Malaysia bersetuju menyertai Outer Space Treaty 1967 dan Registration Convention 1975 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – HARAKAHDAILY 27/11/2024