KUALA LUMPUR: Projek Lapangan Antarabangsa Kargo Kulim (KXP) bukanlah pesaing kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, ia sebaliknya berperanan sebagai pemangkin yang saling melengkapi untuk meningkatkan keupayaan PIA.
“Kami tegaskan bahawasanya KXP tidak pernah menjadi pesaing kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
“(Tetapi) ia merupakan satu compliment simbiotik relationship di antara KXP dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya dengan menambah ia saling menyokong dalam memperkukuh industri aeroangkasa negara.
Beliau mengemukakan perkara tersebut ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat hari ini.
Khairil Nizam juga menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan telah menerima permohonan daripada kerajaan negeri Kedah pada 21 Ogos 2024 mengenai penubuhan projek aerodrom, yang kini dalam proses penelitian oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan Malaysia Aviation Commission (MAVCOM).
“Jadi kami mohon dan merayu kepada pihak MOT khususnya untuk meneliti perkara ini dengan sebaiknya agar ia dapat diberikan kelulusan bagi kesejahteraan rakyat khususnya kepada rakyat negeri Kedah dan umumnya kepada negeri-negeri utara Malaysia,” serunya.
Tambah beliau, dengan pelaburan yang pesat di Kulim Hi-Tech Park dan Kedah Rubber City, KXP akan membantu meningkatkan kapasiti PIA untuk mencapai sasaran 12 juta penumpang setahun.
Khairil Nizam berharap agar Kementerian Pengangkutan memberikan perhatian serius dalam mempercepatkan proses kelulusan demi kemajuan ekonomi kawasan tersebut. – HARAKAHDAILY 27/11/2024