KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Islam Petra (KIAS) giat mengadakan promosi di beberapa negara bagi menarik pelajar dari negara terbabit melanjut pengajian di KIAS.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, promosi diadakan di Thailand, Kemboja, Singapura dan Indonesia.
Katanya, KIAS juga terlibat dalam seminar di peringkat antarabangsa dengan memperluaskan jaringan kerjasama di negara terbabit.
“Insentif yuran pengajian bagi pelajar yang cemerlang dengan membuat pemotongan berdasar pencapaian mereka diberi kepada pelajar asing bagi menarik mereka belajar di KIAS,” katanya menjawab soalan Dato’ Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) pada sidang DUN hari ini.
Sebelum itu Abdul Rahman berkata, berdasar pengalaman belajar di Pakistan, universiti di negara terbabit menyediakan kuota khas kepada pelajar dari negara bukan Islam melanjut pengajian ke Pakistan.
Wan Roslan juga berkata, pelajar dari luar negara boleh belajar selama tiga tahun di KIAS bagi mendapat sarjana muda atau belajar selama dua tahun dan menyambung di Al Azhar Mesir bagi tahun ketiga.
Menurutnya juga insentif khas disediakan sebagai galakan bagi menarik pelajar dari luar negara belajar di KIAS.
Selain itu KIAS turut menawarkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD. – HARAKAHDAILY 27/11/2024