Kedah proaktif bangun infra, jaga kelestarian alam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri komited meningkatkan infrastruktur negeri antaramya dengan menumpukan kepada pembangunan dan penyelenggaraan jalan raya dan jambatan yang lebih baik.

- Advertisement -

Melalui peruntukan pelaksanaan projek utama sebanyak RM45.1 juta, ditambah dengan RM295.3 juta untuk perancangan MARRIS 2025, menjadikan langkah tersebut lebih pro-aktif dan berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria memaklumkan demikian pada ucapan pergulungan sempena Sidang DUN Kedah, hari ini.

Langkah Kerajaan Negeri dalam pembelian aset jambatan bailey katanya, dilihat amat wajar sebagai persediaan menghadapi bencana di luar dengan sejumlah RM6.05 juta diperuntukkan.

Dalam pada itu bagi sektor Bekalan Air dan Sumber Air beliau berkata,  Kerajaan Negeri akan terus berusaha menjamin keberlanjutan bekalan air terawat untuk rakyat secara berterusan, dengan memperuntukkan RM246.9 juta melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Sementara tambah Munir, tindakan pengawalan dan pemeliharaan sumber air untuk kegunaan semasa musim kemarau turut diberikan perhatian.

Antaranya jelas beliau, pelaksanaan pembangunan kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Kampung Lesong, Daerah Kuala Muda yang berjumlah RM65.0 juta dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

Termasuk beritahunya, naik taraf dan pembaikan Empangan Berisiko Tinggi berjumlah RM3.8 juta.

“Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (PETRA) atas usahasama ini. Ia merupakan sebagai satu langkah Kerajaan Negeri menghadapi isu perubahan iklim,” tambahnya lagi.

Sebagai negeri yang menjalankan aktiviti pertanian terutama penanaman padi katanya, sektor pengairan dan saliran merupakan nadi penting, apatah lagi penanaman padi merupakan antara komoditi utama negara.

“Oleh itu peruntukan sebanyak RM4.62 juta untuk memperbaiki sistem pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi Luar Jelapang adalah amat wajar agar penambahbaikan terusan saliran yang lebih efisien untuk menjamin keselamatan dan produktiviti pertanian. 

“Hal ini ditambah dengan komitmen Kerajaan Negeri dengan menyediakan peruntukan RM25 juta dalam penyelenggaraan berkala sistem saliran, tali air, pintu air, pam-pam bergerak dan penyelenggaraan sungai,” kata beliau lagi.

Sementara sebagai inisiatif baharu ujarnya, Kerajaan Negeri turut memberikan fokus kepada kepentingan penglibatan komuniti dalam menjaga kelestarian sumber air kita dengan melaksanakan Program Denai Sungai yang menelan kos sebanyak RM900,000.

Dalam perkembangan lain kata Munir, sebagai sebuah negeri yang kaya
dengan sumber hutan luas, kelestarian alam sekitar memainkan peranan penting dan memberikan pelbagai kepentingan kepada negeri.

“Hutan bertujuan untuk mengekalkan biologi habitat pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan, termasuk tumbuh-tumbuhan endemik dan spesies tumbuhan yang memerlukan ekosistem hutan sebagai tempat tinggal.

“Begitu juga dengan hidupan liar yang kian terancam dan semakin menurun bilangannya. Oleh itu pemeliharaan komponen biodiversiti hutan akan terus diperkasakan bagi memastikan keseimbangan alam terjamin dan mencegah kepupusan spesies daripada terjadi dengan lebih cepat,” jelasnya.

Di samping itu juga kata beliau, hutan turut berperanan sebagai kawasan tadahan sumber air berfungsi untuk mengawal aliran air yang boleh menyebabkan risiko banjir, aliran puing dan banjir kilat terutamanya ketika situasi cuaca tidak menentu pada masa kini.

Pada masa yang sama, pemeliharaan hutan katanya, turut membantu mencegah hakisan tanah dan mengekalkan struktur tanah secara tidak langsung, boleh mengelakkan daripada berlakunya risiko bencana alam seperti tanah runtuh.

“Walaupun kejadian bencana alam sememangnya tidak dapat diduga, namun langkah-langkah pencegahan harus diambil kira dan diberikan perhatian sewajarnya, agar ia dapat dielakkan terutama yang berpontensi mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Oleh itu saya ingin menyeru kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jabatan, agensi serta orang perseorangan agar kita dapat memahami dan menghargai akan kepentingan hutan.

“Kesedaran ini secara tidak langsung dapat melibatkan diri dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan serta pengurusan hutan yang efektif untuk kelestarian hutan yang berpanjangan,” katanya dengan panjang lebar.

Mengulas lanjut, tegasnya seiring dengan keperluan pembangunan dalam memacu peningkatan ekonomi, pastinya hutan juga akan turut diterokai.

Justeru, pembangunan hutan, terutamanya bagi tujuan penyelidikan dan pelancongan haruslah dilaksanakan secara berhemah dan mampan dalam usaha meminimakan impak dan kesan terhadap ekosistem hutan tersebut.

Berikutan itu jelas beliau, menerusi Program Penghijauan Malaysia, RMK-12, Kempen Tanaman 100 Juta Pokok diadakan.

Melalui program itu ujarnya, Kerajaan Negeri Kedah mensasarkan tanaman pokok sebanyak 225,020 pokok setahun, dengan usaha yang komited daripada pelbagai jabatan dan agensi.

“Sehingga kini, Negeri Kedah telahpun berjaya menanam sebanyak 2.808 juta pokok.

“Kerajaan Negeri juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana membekalkan peruntukan (Ecological Fiscal Transfer – EFT) berjumlah 12.4 juta dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bagi aspek biodiversiti ataupun bio-D,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2024