KOTA BHARU: Kelantan merupakan negeri yang begitu sinonim dengan banjir yang berlaku hampir setiap tahun sempena musim tengkujuh.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, keadaan banjir biasa dan luar biasa pernah berlaku pada tahun 1926, 1976, 2004 dan terakhir 2014.
“Sejarah banjir besar direkodkan pada tahun 1926, 1967 iaitu selepas 41 tahun, dan kali terakhir pada 2014 selepas 10 tahun kemungkinan disebut orang akan berlaku tahun ini.
“Ia bermaksud bukanlah kitaran 10 tahun berturut-turut. Namun kita hendaklah pakat doa semoga sejarah 2014 tidak berulangan lagi tahun ini.
“Apa pun kita mengambil pendekatan serius mengenai kesiapsiagaan awal dan merentasi pelbagai agensi,” katanya ketika menjawab soalan Harun Ismail (PAS-Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Sebelum itu Harun meminta kerajaan negeri menyatakan langkah-langkah yang dilakukan bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini khususnya di kawasan yang teruk menghadapi banjir.
Rohani yang juga ADUN Tanjong Mas berkata, berdasarkan pengalaman pada 2014, pihaknya mengadakan siri pertemuan dengan agensi terbabit bermula September lalu.
“Kita dapat maklumat mengenai tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bermula November 2024 hingga Mac 2025.
“Setelah mendapat maklum termasuk ramalan cuaca, paling awal diambil tindakan ialah kerahan kepada masjid, agensi kerajaan dan rakyat agar mengadakan solat hajat bagi menjauhkan bencana banjir tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024