KUALA LUMPUR: Beberapa negara sedang menghadapi penurunan dalam jualan kenderaan elektrik (EV) akibat daripada kekurangan stesen pengecas kenderaan tersebut.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata pada tahun 2023 hingga 2024 sahaja sebanyak 10,663 buah kenderaan elektrik atau 2.6 peratus daripada penjualan kenderaan itu ialah EV.
“Maka, apakah strategi yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan pembangunan dan jumlah stesen pengecas sejajar dengan keperluan penambahan kenderaan EV dalam negara ini?” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga bertanya mengenai pendekatan kerajaan dalam memajukan EV dan stesen pengecas bagi kawasan luar bandar.
Bagi menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong menyatakan bahawa sasaran MITI masih kekal 10,000 stesen pengecas.
“Yang paling penting bukannya bilangan stesen pengecas tetapi berapa bilangan kuasa pengecasan arus terus (DC) yang telah ditingkatkan daripada 1,000 unit kepada 1,500 unit menjelang tahun 2025,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024