4,140 mangsa banjir dipindah di Kelantan

Mohd Rodzi Jaafar melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir di Kelantan, di mana 30 kampung dijangka dinaiki air melibatkan jajahan Pasir Puteh hari ini.

- Advertisement -

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS pada kenyataan memaklumkan antara kampung yang akan terjejas Kampung Baru, Kampung Gong Serapat, Kampung Pasir Puteh, Kampung Gong Chepa, Kampung Jelor, Kampung Nara, Pulau Sa, Kulim dan Nering.

Turut diramal dinaiki air Kampung Raja, Tok Sudin, Sungai Kelong, Batu Hitam, Saring, Temila, Wakaf Bunut, Panggong Tiga Daerah, Daran Buaya, Telipot dan Chengal Pulas.

Bukit Gedombak, Kampung Kamil, Lama Pasir Puteh, Kelubi, Bandar Baru Pasir Puteh, Wakaf Tukup, Gong Pasir, Batu Berendam, Sungai Gali dan Bukit Awang juga mungkin terjejas.

Menurut PRABN, keadaan itu susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta aras air sungai diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya.

Sementara itu sebanyak 61 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kelantan melibatkan 4,140 mangsa dari 209 keluarga setakat 11.14 pagi ini.

Sebanyak sembilan jajahan terlibat dengan kejadian banjir iaitu Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok dan Machang.

Setakat ini Pasir Puteh mencatat jumlah mangsa 1,068 orang dari 368 keluarga.

Sementara itu ADUN Gaal Mohd Rodzi Jaafar bersama penghulu turut membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir ke PPS kira-kira jam 11.00 malam tadi.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya negeri kita, tempat kita dijauhkan daripada segala bahaya dan banjir besar,” katanya ketika dihubungi. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -