Warga kota resah wujud unsur tindas, manipulasi

Akta Pembaharuan Semula Bandar

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak ada peruntukan undang-undang yang membolehkan penggunaan hartanah seseorang itu secara paksa tanpa memberikan pampasan yang memadai.

- Advertisement -

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) menyatakan telah mendengar cadangan daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar.

“Saya mendengar cadangan tersebut sedikit sebanyak menimbulkan resah dalam kalangan warga kota khususnya penduduk-penduduk asal,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, isu yang berlaku pada hari ini ialah mengenai pengurangan nilai ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.

Kata beliau, perkara tersebut adalah bertentangan dengan Akta 13 mengenai harta yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan negara ini.

“Perkara sebegini menyebabkan unsur-unsur penindasan dan manipulasi oleh pihak pemaju terhadap orang-orang asal yang merupakan pemilik tanah.

“Ini kerana kalau sebelum ini pemaju perlu mencari kesemua penduduk tersebut tetapi sekarang hanya perlu sebahagian sahaja dalam melakukan sebarang pembangunan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa sekalipun akta tersebut hendak dilaksanakan perlu diharmonikan dengan akta-akta lain yang berkaitan dengan Kanun Tanah Negara ini. – HARAKAHDAILY 26/11/2024