KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengambil pendekatan secara damai bagi menuntut royalti petroleum yang menjadi hak Kelantan selaras dengan konsep negara madani.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tuntutan royalti perlu diselesaikan secara adil dan saksama dengan kerajaan pusat.
Katanya kerajaan pusat perlu memberi perhatian sewajarnya dengan cara adil dan penuh harmonis.
“Kita tidak niat hendak timbul perbalahan dengan menyelesaikan tuntutan royalti melalui perundangan kerana melibatkan ia kos yang tinggi dan masa yang panjang.
“Ada cara lebih baik dengan penyelesaian keadilan dan penuh ihsan. Lagipun tuntutan melalui mahkamah kita sudah lalui.
“Kerajaan negeri tidak mahu isu royalti menjadi perbalahan dengan kerajaan pusat, jadi kita minta kerajaan pusat selesaikan dengan cara terbaik,” katanya pada sidang DUN di sini.
Semalam pembangkang mencadangkan kerajaan negeri membawa kes Akta Wilayah Laut yang ditolak DUN Kelantan pada 2015 ke mahkamah.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, beliau mewakili kerajaan negeri membentang usul menolak Akta Wilayah Laut pada 2015.
Menurutnya juga perjanjian antara kerajaan Kelantan dengan Petronas pada 1975 sangat mudah difahami kerana dokumen perjanjian itu sekadar dua muka surat sahaja.
Jabatan Perangkaan Malaysia menyenaraikan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak dan gas pada 2004 sebaris dengan Sabah, Sarawak dan Terengganu. – HARAKAHDAILY 26/11/2024