KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang halangan bagi menambah peruntukan yang lebih besar kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia bagi membantu KIAS mencapai taraf universiti penuh pada 2027.
“Untuk itu KIAS diarah untuk menyediakan pelan perancangan akademik, pembangunan dan pemasaran konprehensif bagi memastikan setiap wang dilaburkan menghasilkan pulangan kepada kita.
“Begitu juga peruntukkan yang besar bagi pembangunan prasarana meningkatkan imej dan kemudahan bertaraf sebuah universiti penuh yang menjadi pilihan ramai rakyat nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Zuraidin yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Rantau Panjang bertanya mengenai hasrat kerajaan negeri untuk menambah peruntukkan RM10 setahun kepada KIAS bagi mencapai status tersebut.
Terdahulu ketika sesi jawapan soalan lisan, beliau meminta kerajaan negeri menyatakan langkah bagi memastikan KIAS dapat mencapai taraf universiti penuh menjelang tahun 2025.
Sebagaimana diumumkan sebelum ini, Wan Roslan menyatakan kerajaan negeri menyalurkan geran sepanjang lima tahun sebanyak RM10 juta setahun.
“Selain memastikan KIAS mempunyai rekod pengurusan baik dan berkualiti, kita membantu KIAS dari segi perancangan dan sumber kewangan jangka panjang seperti menyediakan geran RM10 juta bagi lima tahun.
“Menyediakan premis baik dan lengkap serta kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran dengan kemudahan fizikal seperti makmal dewan kuliah, bilik kuliah lengkap dan mencukupi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor. – HARAKAHDAILY 26/11/2024