ALOR SETAR: Peruntukan RM1.5 juta dalam Bajet Kedah 2025 untuk fasa awal pembangunan Kompleks Pentadbiran Islam Daerah Kuala Muda membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri ke arah memperkasakan sistem perundangan syariah.
Mardhiyyah Johari (PN-Pengkalan Kundur) berkata, peruntukan tersebut turut melibatkan pembinaan Mahkamah Syariah Kuala Muda dan kerja menaik taraf Pejabat Agama Daerah Kuala Muda yang akan dimulakan pada tahun 2026.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan ini. Mahkamah Syariah Kuala Muda sememangnya memerlukan fasiliti yang lebih baik, seiring komitmen Kerajaan Negeri Kedah memperkasa sistem perundangan syariah.
“Usaha ini secara tidak langsung menyerlahkan kesungguhan Kerajaan Negeri kepada perundangan syariah,” kata beliau ketika mengambil bahagian pada ucapan perbahasan Belanjawan Kedah 2025, sempena Sidang DUN Kedah, hari ini.
Dalam pada itu beliau berharap usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasa perundangan syariah itu tidak terhenti setakat ini.
Sebaliknya Kerajaan Negeri seru beliau, mesti memainkan peranan penting dalam konteks nasional sebagai pihak yang mahu memastikan perundangan ini terpelihara di dalam negara.
“Saya juga mencadangkan agar Kedah melalui pihak berkuasa agama Islam serta badan-badan berkanun berkaitan agama Islam termasuk NGO Islam memohon untuk terlibat di dalam setiap kes yang mencabar enakmen-enakmen syariah.
“Sama ada sebagai pencelah (intervener), peguam pemerhati (watching brief) atau sahabat mahkamah (amicus curiae). Jangan dibiarkan kes-kes yang mencabar keabsahan atau mempertikai enakmen syariah ini tanpa keterlibatan kita.
“(Ini) Sebagai tanda kebersamaan dalam mempertahankan perundangan syariah di peringkat nasional,” kata beliau yang juga Ketua Pengarah Ameerah Malaysia.
Beliau juga menyentuh berkenaan aspek utama kesejahteraan wanita iaitu keselamatan dengan memberi beberapa contoh melalui petikan akhbar yang melaporkan berkenaan kehilangan wanita terutamanya remaja dan kanak-kanak mutakhir ini.
“Ini adalah satu perkembangan yang sangat menyesakkan dada dan membimbangkan. Oleh itu saya ingin mencadangkan agar pemerkasaan institusi keluarga terutamanya dalam memastikan peranan ketua keluarga dilaksanakan sebaiknya.
“Hal tersebut wajar menjadi salah satu fokus Kerajaan Negeri khususnya portfolio wanita agar keluarga kembali berperanan sebagai pelindung utama kepada wanita,” tambahnya.
Berikutan itu cadangnya, program-program kesedaran mengenai keselamatan wanita dan anak-anak perlu diadakan secara berterusan melalui institusi pendidikan, di taman perumahan atau kampung agar keselamatan wanita menjadi keutamaan masyarakat. – HARAKAHDAILY 26/11/2024