KUALA LUMPUR: Pembangunan Kampung Baru Melayu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan warisan dan budaya Melayu terus terpelihara.
Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor), menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman arus pembangunan terhadap kampung-kampung tradisional Melayu.
Beliau memberi contoh isu di Kampung Sungai Baru, di mana pengambilan tanah tanpa mempertimbangkan nilai sentimental dan warisan telah menimbulkan keresahan penduduk.
“Isu yang terkini melibatkan penduduk di Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim anak tempatan yang cukup lantang bersuara, mempertahankan kampung Sungai Baru sebagai satu tanah warisan yang memiliki nilai sentimental yang tinggi bagi masyarakat Melayu.
“Pengambilan tanah, tanpa mengambil kira nilai sentimental dan warisan menimbulkan kebimbangan terhadap kehilangan identiti kampung-kampung tradisional dalam arus pembangunan bandar.
“Situasi yang sedang dihadapi oleh penduduk Kampung Sungai Baru ini bercanggah dengan usaha untuk memartabatkan warisan dan budaya Melayu,” katanya.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau mencadangkan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, khususnya Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, untuk melaksanakan pendekatan pembangunan lestari yang mengintegrasikan elemen warisan budaya setempat.
Mohd Hasnizan turut mempersoalkan ketidakseimbangan peruntukan dalam belanjawan kali ini, dengan RM84 juta diperuntukkan untuk Kampung Baru Cina, namun perhatian serupa tidak diberikan kepada Kampung Baru Melayu dan perkampungan India.
“Kampung Sungai Baru bukanlah sekadar kawasan kediaman, ianya adalah simbol budaya dan warisan masyarakat Melayu bandar,” tegasnya.
Beliau berharap kerajaan dapat menilai semula dasar berkaitan pembangunan kampung tradisional bagi memastikan identiti warisan Melayu terus terpelihara di tengah-tengah pembangunan negara. – HARAKAHDAILY 26/11/2024